Sunday 4 December 2011

Mikro Pengajaran Tahun 6



1.0    Refleksi Pembelajaran Mikropengajaran Bahasa Melayu Tahun 6

Pada akhir pengajaran dan pembelajaran, saya mendapati semua murid dapat mencapai objektif untuk membina ayat tanya dengan betul. Refleksi ini dapat memberi kesedaran kepada saya tentang masalah pelajar dan kelemahan pelajar dalam penguasaan tatabahasa dalam Bahasa Malaysia. Selain itu, refleksi ini juga dapat memberi banyak pengalaman serta membantu saya mencari cara penambahbaikan. Pembinaan refleksi ini sebenarnya bertujuan untuk membantu saya mengesan kelemahan dan kekuatan pengajaran berdasarkan mikropengajaran saya serta dapat meningkatkan lagi kualiti pengajaran dan pembelajaran semasa menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah.

Kekuatan
Latihan pengukuhan dan pemulihan sentiasa diberikan sepanjang masa untuk membantu murid-murid yang lemah dan latihan pengayaan untuk murid yang cerdas dan telah menguasai isi kandungan pengajaran dalam kelas. Selain itu, saya juga membimbing murid-murid untuk membina ayat tanya dan memperbetulkan sebutan dan intonasi murid ketika membaca petikan ataupun membina ayat tanya.

Di samping itu, saya juga menyelitkan aspek penggunaan tatabahasa yang betul sepanjang sesi perbincangan dan merumuskan petikan yang diberi. Perkara ini perlu dilakukan kerana setiap petikan yang melibatkan aspek tatabahasa memerlukan pemahaman yang baik. Sebagai contoh, semasa menulis karangan, rumusan karangan dan mengalih bentuk teks, murid-murid perlu membina ayat yang melibatkan aspek tatabahasa dengan betul dan memahami penggunaannya di dalam pembinaan ayat tanya.

Kelemahan
Pengajaran tatabahasa yang dijalankan di dalam kelas selalunya kurang menarik dan membosankan murid-murid, malah ada guru yang kurang berminat untuk mengajar murid-murid dalam bahagian khasnya aspek tatabahasa. Fenomena yang biasa di dapati dalam kelas ialah pengajaran tatabahasa diajarkan secara induktif. Hal ini bermakna aspek tatabahasa diajarkan secara langsung dengan menerangkan hukum atau rumus tatabahasa iaitu sesuatu yang khusus terlebih dahulu,  kemudian barulah dibincangkan contoh-contohnya yang umum.

Sepatutnya pengajaran tatabahasa boleh dipelbagaikan bentuknya. Oleh itu, sebagai seorang pendidik, saya perlu lebih kreatif untuk memilih teknik pengajaran yang menarik dan bekesan kepada murid-murid. Bagi murid-murid pula, mereka kebiasaannya kurang berminat untuk belajar tatabahasa kerana menganggap perkara itu menyusahkan tambahan pula teknik yang digunakan tidak menarik perhatian murid. Sebenarnya banyak teknik yang boleh digunakan untuk mengajarkan tatabahasa kepada murid-murid.

Halangan dan kelemahan lain yang saya kenalpasti semasa sesi pengajaran dan pembelajaran semasa mikropengajaran ini ialah, saya kekurangan tempoh masa untuk melaksanakan langkah pengembangan bagi membentuk pelajaran yang melibatkan penggunaan komputer dan tidak cukup tempoh masa semasa sesi mikropengajaran ini. Selain itu saya juga kekurangan strategi semasa aktiviti pembelajaran dalam bilik kelas.

Cadangan mengatasi
Teknik pengajaran saya perlu lebih berpusatkan kepada murid-murid dan sebagai guru saya cuma perlu menjadi fasilitator atau pembimbing mereka sahaja. Antara teknik pengajaran tatabahasa yang menarik dan tidak membosankan pelajar ialah teknik nyanyian atau lagu. Ini kerana, banyak lagu yang mengandungi lirik yang sesuai untuk pengajaran dan pembelajaran. Di samping menyanyikan lagu, murid-murid diminta merujuk lirik lagu. Oleh itu, guru perlu menyediakan lirik lagu tersebut terlebih dahulu dan mengedarkannya kepada pelajar. Berikan arahan dan bincangkan tugasan yang perlu dibuat oleh mereka selepas menyanyikan lagu tersebut.

Seelok-eloknya guru harus berbincang dengan pelajar itu sendiri tentang teknik yang disukai oleh mereka. Dengan berdasarkan pengalaman saya sendiri, murid-murid lebih berminat dengan teknik yang menarik seperti nyayian, lakonan, dialog, kuiz serta forum. Oleh itu, antara teknik yang menarik dan sesuai untuk pengajaran dan pembelajaran tatabahasa adalah menerusi teknik nyayian. Jadi, perkara penting yang perlu diberikan perhatian oleh guru ialah teknik tersebut perlulah menarik perhatian pelajar dan tidak membosankan mereka.

Saya perlu bijak untuk memilih sumber yang sesuai dan mengoptimumkan penggunaannya dalam bilik darjah khasnya semasa sesi pengajaran dan pembelajaran mikropengajaran. Murid juga perlu dilibatkan secara langsung untuk mengintegrasikan kemahiran belajar, kemahiran berfikir, kemahiran fasilitator dan teknologi maklumat dalam sesi pembelajaran.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...